Masalah pencemaran bau busuk, lalat selesai - Dr. Mahathir

Masalah pencemaran bau busuk, lalat selesai – Dr. Mahathir

DR. MAHATHIR Mohamad (tiga dari kanan) diberi taklimat pada lawatan beliau ke loji insinerator di Kampung Belanga Pechah, Langkawi hari ini. - FOTO/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Masalah pencemaran bau busuk dan lalat di tapak pelupusan sampah di Kampung Belanga Pechah di sini dijangka selesai apabila loji insinerator atau loji pembakaran sampah di kawasan itu beroperasi semula dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, loji tersebut telah lama dibina di kawasan itu namun gagal beroperasi dengan baik ekoran masalah teknikal

Menurutnya, beliau berharap loji insinerator yang telah sekian lama tidak beroperasi itu dapat dikendalikan dengan baik oleh syarikat kontraktor baharu yang dilantik, Drizzle Engineering Sdn. Bhd. dengan menggunakan teknologi dari Korea.

“Sekarang loji ini sedang dalam proses percubaan dijangka sehingga Mei ini dan berharap ia dapat beroperasi dengan baik selepas ini dengan keupayaan menguruskan 100 tan sampah sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Loji Insinerator Langkawi di sini hari ini.

Mahathir berkata, loji insinerator itu juga perlu dikendalikan oleh tenaga kerja yang cekap kerana proses mengendalikan teknologi tersebut sangat penting.

“Kadang-kadang insinerator ini tidak dapat berjalan dengan baik yang mana kita kena tahu cara kendalikannya dengan betul bagi mengelak berlaku kerosakan.

“Jika ada kerosakan, ia mungkin mengambil masa panjang untuk pulih semula, jadi pekerja mesti dilatih supaya mereka tahu cara untuk kendalikan dengan betul,” katanya.

Selain itu, ujarnya, kontraktor juga perlu memastikan proses pembakaran sampah yang dilakukan tidak mencemar alam sekitar.

Loji tersebut yang dibina dengan kos kira-kira RM200 juta dan mula beroperasi pada November 2012 terpaksa dihentikan enam bulan kemudian akibat masalah operasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN