IPOH: Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam menghambur pujian kepada anak buahnya berikutan kejayaan mereka mengikat Perak FC tanpa jaringan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, semalam.
Sambil menyifatkan aksi tersebut sebagai perlawanan yang hebat, Maniam mengakui, Perak menguasai permainan tetapi pemainnya juga mempamer kesungguhan tinggi.
“Mengutip satu mata di tempat lawan adalah satu permulaan yang baik.
“Pemain bermain dengan penuh semangat dan kami juga berjaya mencipta peluang tetapi malangnya tiada penyudah, ” kata Maniam selepas perlawanan semalam.
Dalam perlawanan itu, pemain PJ City berjaya membawa cabaran kepada tuan rumah terutama pada babak pertama.
Corak kawalan ketat pemain pelawat jelas berjaya menghalang anak buah Chong Yee Fatt daripada melakukan sebarang kemusnahan terutama pada separuh pertama.
Perak cuba bangkit di babak kedua dengan persembahan lebih berkesan tetapi tiada penyudah menjadi faktor menghalang.
Maniam yang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya berharap mereka mampu mengulangi persembahan bertenaga itu apabila turun bertemu Melaka United di tempat sendiri, selepas ini.