Little Kathmandu setiap Ahad di dua kawasan di Ipoh

Little Kathmandu setiap Ahad, warga Nepal tawan dua lokasi di Ipoh

WARGA Nepal keluar mencari dan membeli barangan keperluan di kedai yang dikuasai oleh warga asing. – FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Dato Onn Jaafar di kawasan pekan baru di sini bertukar wajah setiap kali hari minggu apabila kawasan itu ‘ditawan’ dengan kebanjiran warga asing terutama Nepal.

Warga asing didapati me­nguasai kawasan berkenaan sehingga ada yang menjadi tauke di lebih 20 premis perniagaan di dua lokasi tersebut.

Setiap kali Ahad pula, kawasan itu dipenuhi warga a­sing dari negara berkenaan yang rata-ratanya bekerja dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Mereka mengambil kesempatan keluar dan melepaskan lelah bekerja sambil mencari barangan terpakai di pasar minggu dikenali sebagai ‘pasar karat’ yang terletak bersebelahan.

Malah, kehadiran mereka dikatakan lebih ramai apabila menerima gaji dengan membuat urusan menghantar wang kepada keluarga di negara ma­sing-masing menerusi khidmat penghantaran yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

Ini menjadikan kawasan ber­kenaan umpama Little Kathmandu, merujuk kepada ibu negara dan bandar terbesar di Nepal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara perniagaan dijalankan warga asing itu ialah kedai runcit, restoran, pakaian dan penghantaran wang yang mana fokus pelanggan adalah dari negara tersebut.

Difahamkan, terdapat perniagaan dibuka di tingkat atas premis namun hanya individu yang dikenali dan dari negara sama dibenarkan masuk serta membeli barang di kedai tersebut.

Situasi itu terbukti apabila wartawan Utusan Malaysia yang cuba masuk ke kedai dan bertanya barang yang ingin dibeli, dilayan secara acuh tidak acuh oleh peniaga.

Tinjauan juga mendapati, golongan itu seolah-olah tidak menghormati bahasa kebangsaan apabila dengan beraninya menggunakan bahasa ibunda negara mereka pada papan tanda perniagaan.

Tindakan itu menyebabkan orang ramai berasa bagaikan berada di negara asing tambahan lagi pada cuti hujung minggu atau cuti umum, warga asing dilihat mendominasi kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN