BALING: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia ketika bersendirian di rumahnya di Kompleks Gerai Medan, Jalan Syed Sheikh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima panggilan memaklumkan penemuan mayat, Abdul Rashid Ahmad, 55, yang telah berulat di rumah yang terletak berhampiran Pejabat Pos Pekan Baling di sini, pada pukul 3.05 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri selepas bercerai dengan isterinya yang menetap di kampung halamannya di Gerik, Perak lebih dua tahun lalu.
“Anak-anak Abdul Rashid cuba menghubungi bapa mereka itu untuk memaklumkan mengenai kematian bekas isterinya yang telah meninggal dunia pada 1 Mac lalu tetapi tiada jawapan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shamsudin, anak-anak mangsa kemudian pergi ke rumah untuk menziarahi bapa mereka, namun terkejut apabila melihat bapa mereka telah meninggal dunia.
Katanya, mangsa sebelum ini difahamkan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah sendi.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia lingkungan empat hingga tujuh hari lalu berdasarkan ulat pada tubuh badan mangsa.
“Tiada sebarang unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian termasuk kesan-kesan pada tubuh badan mangsa,” katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes diklasfikasikan sebagai kematian mengejut. – UTUSAN ONLINE