BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah bersama sejumlah dadah bernilai RM24,400 di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal kira-kira pukul 8 malam.
Menurut beliau, polis turut merampas sepaket dadah heroin seberat 456 gram (g) bernilai RM5,000 dan tujuh paket dadah syabu (194 g) bernilai RM19,400.
“Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha 125ZR bernilai RM6,000 daripada suspek itu yang juga positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya merampas sejumlah 31.25 liter air ketum dan 30 kilogram daun ketum dalam serbuan di Sungai Puyu di sini dan Kampung Baru Tasek Gelugor, dekat sini kira-kira pukul 2 petang semalam.
Dalam operasi itu katanya, polis turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 42 tahun bersama ketum berkenaan yang dianggarkan bernilai RM770.
“Suspek yang negatif ujian saringan air kencing disyaki memproses air ketum itu untuk dijual di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE