Kompaunsebanyak RM10,000, jangan jadikan polis musuh

Kompaun RM10,000, jangan jadikan polis musuh

SHAHRUL LAILI MASDUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Masyarakat tidak sepatutnya menjadikan polis musuh atau mencetuskan kontroversi apabila dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 selepas berdegil tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, sejak 12 Mac lalu, seramai 21 individu telah dikenakan kompaun itu di negeri ini termasuk kes tular membabitkan seorang remaja lelaki yang tidak mengimbas kod MySejahtera ketika mendakwa ingin membeli ubat untuk ibunya. 

Beliau berkata, tindakan tegas diambil selepas mengambil kira pemakluman mengenai penguatkuasaaan terbabit telah dilaksanakan secara menyeluruh meliputi semua lapisan masyarakat. 

“Berkaitan apa juga SOP yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan, ia (kompaun) telah cukup diuar-uarkan kepada orang awam sama ada melalui media atau pelbagai cara lain. 

“Jadi, tidak adil sekiranya masyarakat ingin menyalahkan pihak polis dengan mengatakan kita bertindak kejam atau tidak bertoleransi seperti yang dilemparkan netizen apabila kita mengenakan kompaun itu terhadap seorang remaja lelaki baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Taklimat Keselamatan dan Pelaksanaan Inisiatif Satu Masjid Satu Polis peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azhan Md. Samat. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua 21 individu yang dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 itu didapati melakukan pelbagai kesalahan terutamanya enggan memakai pelitup muka dan mengimbas kod MySejahtera. 

“Kesemua yang dikompaun melibatkan individu berusia 15 tahun sehingga 53 tahun yang berdegil tidak mengikut SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. 

“Sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kompaun dikenakan, mereka boleh membuat permohonan rayuan di pusat kesihatan daerah (PKD),” jelasnya.

Pada Ahad lalu, tular mengenai seorang pelajar tingkatan lima dikompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan aplikasi MySejahtera ketika mahu membeli panadol untuk ibunya di sebuah premis perniagaan di Batu Berendam di sini.

Tindakan pihak berkuasa itu mengundang pelbagai reaksi netizen dengan rata-rata mengecam menyifatkannya sebagai kejam dan tidak mempunyai empati. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN