Kelantan United raih kemenangan sulung - Utusan Malaysia

Kelantan United raih kemenangan sulung

PEMAIN tengah Kelantan United, Amirul Shafik Che Soh ( kanan) meraikan jaringannya dalam aksi Liga Perdana menentang PDRM di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan United melupakan kekalahan 0-2 kepada Sarawak minggu lalu dengan bangkit melakar kemenangan pertama, menumpaskan PDRM 2-0 pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Pemain sayap Muhammad Amirul Syafik meledak jaringan pertama seawal minit ketiga selepas bijak memperdayakan benteng pertahanan pelawat.

Selang tiga minit kemudian, pelawat terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan Muhammad Amirul Wa’ie Yaacob berjaya ditepis oleh penjaga gawang KUFC Mohammad Fikri Che Soh.

Tersentak dengan asakan pelawat, KUFC kembali memperkemaskan permainan dan hampir menambah jaringan kedua namun rembatan deras Asraff Alifuddin Yasin tenang ditepis keluar oleh Muhd Asri Muhammad digawang gol PDRM FC.

Selepas itu kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas-balas serangan namun dipisahkan oleh ketumpulan penyudah walaupun mempunyai deretan peluang terhidang.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, KUFC membawa masuk pemain import vateran dari Jepun Masashi Motoyama untuk menambah ketajaman di bahagian serangan.

Minit ke-53, Gassama Alfusainey mempersiakan peluang untuk menambah jaringan kedua tuan rumah apabila rembatan ‘bicycle kick’ sekadar mengegar palang.

Bekas penyerang The Red Warriors (TRW) musim lalu Lazarus Kaimbi hampir mengikat kedudukan menjadi 1-1, namun sayang sepakan percumanya sekadar menggegar tiang gol sebelah kiri KUFC.

Berpunca dari tendangan sudut, Shuhei Fukai yang tidak dikawal dalam kotak penalti terus melepaskan rembatan kencang untuk menghadiahkan gol kedua buat KUFC pada minit ke-69.

Selepas itu, PDRM FC cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerak menarik namun gagal menerjah masuk ke gawang gol KUFC.

Pemain gantian Fakhrul Zaman Abdullah Zawawi hampir menambah jaringan ketiga tuan rumah menerusi sepakan percuma namun Muhd. Asri lebih bersedia untuk menepis keluar bola itu.

Keputusan 2-0 itu kekal hingga wisel panjang ditiup oleh pengadil perlawanan Abdul Halim Mohd. Ramlan untuk kemenangan sulung KUFC musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya