Ibu tunggal rugi RM34,000 'terjerat' cinta lelaki Jerman

Ibu tunggal rugi RM34,000 ‘terjerat’ cinta lelaki Jerman

E. SUNDRA RAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal yang juga warga emas rugi lebih RM34,000 selepas ‘terjerat’ dengan cinta lelaki Jerman yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook sejak Februari lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berkenalan dengan suspek yang kononnya tinggal di Jerman di Facebook dan meneruskan perkenalan melalui aplikasi WhatsApp. 

Beliau berkata, suspek kemudian memaklumkan telah menghantar bungkusan kepadanya yang mengandungi sejumlah wang Euro untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia. 

“Suspek memberi alasan tindakannya itu kerana mahu menetap di Malaysia dan sedang membeli rumah.

“Mangsa kemudiannya telah menerima kiriman WhatsApp daripada suspek yang menyamar sebagai ejen syarikat kurier memberitahu terdapat bungkusan untuknya dan mengandungi wang tunai,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, suspek meminta mangsa untuk membuat bayaran kos penghantaran, duti setem, cukai pendapatan dan caj pertukaran mata wang Euro kepada Ringgit.

“Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah membuat 19 kali transaksi bayaran keseluruhannya berjumlah RM34,040 menerusi tujuh akaun bank berbeza yang diberikan.

“Setelah bayaran dibuat, suspek masih meminta wang dari mangsa, namun wanita itu enggan menurutinya,” ujarnya.

Sundra Rajan menambah, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang bungkusan seperti dijanjikan suspek dan membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya