Hasni dahului senarai penerima suntikan vaksin Covid-19 di Johor

Hasni dahului senarai penerima suntikan vaksin Covid-19 di Johor

HASNI Mohammad (duduk) menerima suntikan vaksin imunisasi Covid-19 pertama di Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menjadi penerima pertama suntikan vaksin imunisasi Covid-19 di negeri ini sekali gus menandakan permulaan Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Johor.

Suntikan turut diberikan kepada pemimpin dan petugas barisan hadapan lain termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Hasni berkata, pemberian suntikan vaksin bagi fasa pertama akan melibatkan seramai 35,100 petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lain.

Jelasnya, fasa pertama yang bermula hari ini dijangka selesai menjelang April melibatkan sebanyak 70,200 dos dengan setiap penerima akan diberikan dua dos setiap seorang selepas 21 hari pemberian dos pertama.

“Jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan di negeri ini adalah seramai 41,034 orang, jadi terdapat kekurangan seramai 5,934 orang yang akan diberikan suntikan pada fasa kedua.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini mendapat suntikan vaksin imunisasi Covid-19 sebagai norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan sebelum diberikan suntikan di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda, di sini hari ini.

Vaksin pertama untuk negeri Johor telah diterima pada 21 Februari lalu dan disambut sendiri Hasni di Tambak Johor.

Tambah beliau, sejumlah 62 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah diwujudkan di seluruh Johor bagi pelaksanaan pemberian suntikan vaksin imunisasi Covid-19 fasa pertama.

“Jumlah PPV ini akan ditambah dengan pelaksanaan fasa kedua dan ketiga kelak selain turut memastikan ianya dilakukan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pemberian suntikan vaksin imunisasi Covid-19 akan dijalankan secara telus tanpa berlaku situasi pilih kasih.

“Senarai penerima vaksin memang dikeluarkan kerajaan negeri dan diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk melalui proses ditetapkan bagi memastikan vaksin ini diberikan kepada ‘frontliner’.

“Jadi saya beri jaminan proses ditetapkan kerajaan akan dipatuhi dan segala keputusan untuk penerima fasa pertama mengikut senarai yang dikemukakan Kementerian Kesihatan, jangan bimbang,” jelasnya yang turut berharap program itu tidak akan menimbulkan sebarang spekulasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN