Guru campak budak: KPWKM gesa tindakan tegas - Utusan Malaysia

Guru campak budak: KPWKM gesa tindakan tegas

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melawat pameran pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan dan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Baharu Zon Tengah Tahun 2021 di Hotel Empress, Sepang di sini, hari ini.- UTUSAn/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius klip video tular di media sosial menunjukkan seorang pendidik mencampak seorang muridnya di Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika). 

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan yang melibatkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak.

“Kementerian minta pihak berkuasa mengambil tindakan  kepada individu yang melakukan  penderaan atau penganiayaan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Pengoperasi Tahunan dan Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Zon Tengah di Empress Hotel Sepang di sini semalam.

Menurut beliau, kementerian akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan selaku kementerian yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus tadika. 

Dalam perkembangan berbeza, Rina berkata, sebanyak RM 7.15 juta diperuntukan tahun ini untuk pengoperasian 143 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan menaikkan bantuan kewangan tahunan pengendalian PAWE daripada RM33,330 kepada RM50,000 yang antara lain bertujuan untuk melaksanakan program dan aktiviti PAWE serta kenaikan elaun sukarelawan, penyelia dan pembantu penyelia.

“Kementerian juga meluluskan penubuhan PAWE baharu di Tanjung Karang, Selangor dengan memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi tujuan penubuhan pusat itu,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN