DOHA: Roger Federer terpaksa menarik diri daripada Kejohanan ATP Dubai minggu depan, dengan menegaskan pilihan terbaik buatnya ketika ini adalah kembali kepada sesi latihan.
Bekas pemain No. 1 dunia itu, membuat kemunculan semula selepas 13 bulan tersisih akibat kecederaan, namun langkahnya berakhir dalam perlawanan kedua di Terbuka Qatar.
Pemain berusia 39 tahun itu tersingkir pada kejohanan berlangsung di Doha kepada pemain nombor 42 dunia dari Georgia, Nikoloz Basilashvili dalam set penentuan.
“Amat menakjubkan untuk kembali ke jelajah ATP, gembira setiap minit beraksi di Doha sekali lagi. Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa setia membantu saya untuk berada di sana.
“Saya mengambil keputusan perkara terbaik buat masa ini adalah kembali menjalani latihan. Disebabkan itu saya menarik diri daripada kejohanan di Dubai minggu depan,” tulis juara 20 kali Grand Slam itu di Twitter.
Federer menjalani dua pembedahan lutut tahun lalu dan beraksi pada kejohanan pertamanya sejak tewas pada saingan separuh akhir kepada Novak Djokovic di Terbuka Australia pada Januari 2020.
Dia memerlukan kemenangan tiga set untuk mengetepikan pemain Britain, Dan Evans pada perlawanan pertama di Qatar, kelmarin.
Federer turut memberitahu dia tidak akan bertanding dalam acara pembukaan Masters musim ini di Miami pada hujung bulan ini.
Namun, kemungkinan besar pemain dari Switzerland itu akan beraksi semula di gelanggang tanah liat dalam saingan Eropah yang dijadualkan bermula April nanti. – AFP’