Empat kampung dilanda ribut, 17 buah rumah rosak

Empat kampung dilanda ribut, 17 buah rumah rosak

NURUL Syafika Abd. Ghani melihat bumbung rumah yang rosak serta kayu alang yang menimpanya dalam kejadian ribut di Kampung Ulu Mahang, Kulim, Kedah semalam. - FOTO/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Sebanyak 17 buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda empat kampung di sini, kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Ulu Mahang, Kampung Bukit Kabu, Kampung Paya dan Kampung Cerok Kedah.

Dalam kejadian ribut di Kampung Ulu Mahang, seorang remaja perempuan turut cedera di bahu apabila sebatang kayu alang pada bumbung rumahnya runtuh selepas dihempap pokok manggis.

Nurul Syafika Abd. Ghani, 22, berkata, dia bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di bahu dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selama, Perak.

Katanya, ketika kejadian, dia dan adik lelaki, Mohamad Akmal Naim, 12, berada di rumah sementara kedua ibu bapa mereka keluar bekerja.

“Saya sedang duduk di lantai ruang tamu, sementara adik berada berhampiran pintu utama.

“Sebelum ribut, berlaku hujan batu sehingga menyebabkan keadaan bunyi bising di bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nurul Syafika berkata, alang kayu bersama beberapa keping bumbung tiba-tiba runtuh dan terkena pada bahunya.

“Kami terus berlari dalam hujan lebat ke rumah nenek yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah kami sebelum mendapat tahu bumbung rumah runtuh akibat dihempap pokok manggis,” ujarnya.

Sementara itu, seorang warga emas, Siti Hawa Ismail, 82, terselamat dari dihempap bumbung rumahnya selepas dia baru lima minit keluar menuju ke rumah anaknya.

Menurut anak Siti Hawa, Nazri Ishak, 50, kejadian berlaku selepas hujan batu sebelum datang angin kencang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN