JELI: Perbuatan ‘budak nakal’ mengalihkan tanda amaran pada jambatan gantung yang masih diselenggara di Lata Keding, di sini menyebabkan beberapa pengunjung cedera selepas jambatan tersebut runtuh hari ini.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 10 pengunjung cedera ringan namun tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu.
Penghulu Mukim Gemang, Noorzaha Daud berkata, sebenarnya kerja-kerja penyelenggaraan masih belum selesai dan jambatan gantung tersebut dengan panjang 40 meter dan 4.5 meter masih belum boleh digunakan sepenuhnya.
Namun katanya, pengunjung yang datang berkelah di Lata Keding hari ini tidak menyedari perkara itu lalu menggunakan jambatan gantung tersebut beramai-ramai.
“Sebelum ini kita telah meletakkan tanda amaran di laluan jambatan masuk supaya orang ramai tidak menaiki jambatan itu yang masih dalam penyelenggaraan.
“Namun ada budak-budak nakal yang datang ke sini bertindak membuang tanda amaran yang kami letakkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan Lata Keding kesal dengan insiden itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengesan individu yang bertanggungjawab selain memastikan kejadian tidak berulang pada masa depan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Ahmad Ariffin berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat pihak pengurusan berhubung kejadian terbabit.
“Beberapa pengunjung dilaporkan mengalami cedera ringan namun tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut,” katanya.
Kejadian itu turut tular dalam media sosial dan rata-rata warganet menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan. – UTUSAN ONLINE