Bomba kenal pasti punca kebakaran kabel elektrik Jambatan P. Pinang 

Bomba kenal pasti punca kebakaran kabel elektrik Jambatan P. Pinang 

SAADON Mokhtar selesai mengetuai sekumpulan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri sudah mengenal pasti punca kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2, bawah Jambatan Pulau Pinang dekat Perai di sini pada 22 Februari lalu. 

Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, laporan siasatan berhubung kejadian itu akan diserahkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini. 

Menurut beliau, TNB akan meneliti punca kebakaran yang dikeluarkan oleh pihaknya sebelum mendedahkan perkara tersebut. 

“Dalam ujian yang dilaksanakan kami juga mendapati kebakaran yang berlaku itu tiada kaitan dengan sebarang unsur khianat. 

“Kita beri keutamaan kepada pihak TNB untuk mendedahkan tentang punca kejadian kebakaran yang berlaku di bawah Jambatan Pulau Pinang itu,” katanya. 

Beliau ditemui sejurus selesai menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Klinik Kesihatan Jalan Perak, di sini pagi ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang pada 22 Februari lalu, pengguna Jambatan Pulau Pinang dikejutkan dengan kepulan asap yang keluar dari jeriji besi di atas jalan raya akibat kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2 jambatan itu. 

Kebakaran itu melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara sekali gus menyebabkan kesesakan teruk sehingga lebih lima jam. 

Kebakaran itu juga menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang menggunakan bot untuk memadamkan kebakaran berikutan kabel elektrik itu terletak di bawah jambatan. 

Semalam Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, pihaknya masih menunggu laporan siasatan daripada bomba berhubung kebakaran itu manakala kos baik pulih dan kerugian pula masih dalam penilaian. 

Beliau turut memaklumkan TNB sudah melantik kontraktor untuk membaiki kabel yang terbakar itu dengan kerja-kerja baik pulih tersebut bermula hari ini. –  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya