Bekalan elektrik lima premis judi dipotong - A. Asmadi

Bekalan elektrik lima premis judi dipotong

ASMADI Abdul Aziz (kiri) melihat pekerja TNB memotong bekalan elektrik di premis perjudian haram di Ipoh hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Biarpun pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, lima premis perniagaan di sekitar daerah ini masih tidak serik apabila terus mengulangi kesalahan sama dengan menjalankan kegiatan judi ekor haram dan catat taruh haram.

Sikap tidak acuh kepada penguatkuasaan itu menyebabkan premis berkenaan sekali lagi diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam operasi bermula pukul 3 petang itu, kesemua premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, tindakan itu diambil setelah risikan dan pemantauan dijalankan pihaknya ke atas premis tersebut.

Katanya, pemeriksaan mendapati, kesemua premis itu beroperasi sejak enam bulan lalu selain pernah diserbu dan diambil tindakan sebelum ini.

“Tindakan memotong bekalan elektrik dengan kerjasama TNB ini dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Melalui peruntukan itu, polis berhak memotong bekalan elektrik mana-mana premis perniagaan sekiranya didapati menjalankan aktiviti perjudian haram,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sebuah premis di Jalan Dato Tahwil Azar, di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, kebanyakan premis yang diserbu dalam operasi sebelum ini berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan kad tambah nilai. 

Namun katanya, modus operandi itu kini berbeza apabila beralih kepada perniagaan perkakasan, kabinet, pakaian dan peralatan sembahyang serta pusat snuker.

“Modus operandi mereka ini bukan sahaja sentiasa berubah malah premis juga sering berpindah-randah. Jadi kita akan pantau dan masuk ke semua premis untuk tindakan.

“Oleh itu, saya mahu mengingatkan pemilik premis supaya mengambil tahu latar belakang penyewa termasuk perniagaan apa yang hendak dijalankan sebelum menyerahkan premis untuk disewa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya