JOHOR BAHRU: Bau busuk seperti sampah pada waktu malam dan terdapat segelintir penduduk mengalami pening, mual dan sesak nafas.
Itu antara aduan penduduk sekitar Pasir Gudang berhubung masalah pencemaran udara di kawasan perumahan mereka.
Walaupun jarang-jarang berlaku, namun, mereka tetap berasa curiga dan keliru untuk membezakan bau busuk seperti sampah yang didakwa itu adalah merupakan gas beracun yang dikeluarkan dari asap kilang-kilang berdekatan atau pun berpunca dari faktor-faktor lain.
Bagaimanapun, penduduk di Pasir Gudang mahu pihak berwajib segera membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kandungan udara di sana berada dalam keadaan selamat atau tidak.
Penduduk, Jamaluddin Abdul Malik, 43, berkata, kebimbangan itu tercetus kerana penduduk berkemungkinan berisiko menghidap penyakit berbahaya termasuk kanser akibat kesan jangka panjang terhidu udara tercemar.
Katanya, ini kerana penduduk tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan untuk membezakan udara yang dihirup itu tercemar atau tidak dan hanya mampu membuat andaian semata-mata.
“Sebagai penduduk, pastinya kami tidak mahu insiden pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang sebelum ini berulang. Kami berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) memainkan peranan mereka demi keselesaan dan keselamatan penduduk di sini.
“Kami perlukan khidmat pakar dalam soal ini. Ini kerana penduduk hanya mampu membuat andaian seperti bau kurang menyenangkan dan bau busuk, mungkin bau itu tidak memudaratkan, siapa tahu?” katanya kepada pemberita semalam.
Bapa kepada tujuh anak itu memberitahu, dia tidak mendengar kes di mana penduduk setempat mengalami penyakit kronik akibat terhidu bau gas beracun yang dilepaskan oleh kilang-kilang di kawasan perindustrian itu.
Sementara itu, pekerja swasta, Siti Amanina Suhaini berkata, aktiviti seharian yang berjalan secara biasa membuatkan penduduk setempat merasakan seperti tidak ada apa yang berlaku dan tidak mengambil hirau perkara tersebut.
Tambahan pula, katanya, penduduk tidak dimaklumkan dengan bacaan indeks pencemaran udara di kawasan berkenaan menyebabkan mereka tidak risau mengenainya sehinggalah berlaku kes dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, kedudukan kilang yang jauh dari kawasan penempatan membuatkan penduduk tidak risau mengenainya. Tambahan pula, ada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kerap turun kawasan untuk membuat pemeriksaan,” katanya.
Bagi Alia Nadira Nazarrudin pula, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi menangani perkara itu sebelum ia mendatangkan keburukan terhadap penduduk di sini.
Katanya, mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan perlu dikenakan tindakan tegas agar kesalahan sama tidak berulang.
“Dalam soal ini, penduduk hanya dapat berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi meredakan kebimbangan mereka yang khuatir akan keselamatan keluarga dan anak-anak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE