NEW YORK/ZURICH/TOKYO: Bank-bank di seluruh dunia mungkin menghadapi kerugian sehingga AS$6 bilion (RM24.87 bilion) berikutan kejatuhan Archegos Capital, sumber yang rapat dengan dagangan melibatkan firma pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu Reuters.
Malah, penguat kuasa undang-undang dan pelabur turut bimbang kerugian tersebut akan tersebar lebih luas kelak.
Nomura dari Jepun dan Credit Suisse dari Switzerland memberi amaran tentang kerugian besar akibat pinjaman kepada Archegos untuk dagangan ekuiti terbitan, memicu penjualan saham perbankan di seluruh dunia.
Saham Morgan Stanley jatuh 2.6 peratus dan Goldman Sachs Group turun 1.7 peratus. Saham Nomura ditutup rendah 16.3 peratus – penurunan sehari tertinggi dalam sejarahnya – dan saham Credit Suisse merosot 14 peratus, kejatuhan tertingginya dalam setahun.
Deutsche Bank jatuh lima peratus dan UBS turun 3.8 peratus.
Kerugian dalam Archegos Capital Management, syarikat keluarga yang diterajui bekas pengurus Tiger Asia, Bill Hwang mencetuskan penjualan panik saham termasuk ViacomCBS dan Discovery Jumaat lalu, menurut Reuters yang memetik sumber terdekat dengan perkara itu.
Jurucakap Archegos, Karen Kessler dalam satu kenyataan berkata, tempoh ini adalah sangat mencabar bagi seluruh keluarga syarikat itu, rakan kongsi dan pekerja-pekerjanya.
“Semua pelan sedang dibincangkan sementara Hwang dan pasukannya menentukan jalan terbaik untuk masa hadapan,” katanya.
Archegos gagal memenuhi permintaan bank untuk lebih cagaran bagi melindungi dagangan pertukaran ekuiti yang sebahagiannya telah mereka biayai.
“Apabila ada orang yang membuat pertaruhan tertentu berdasarkan apa yang pernah mempunyai prestasi yang baik sebelum ini dan keadaan menjadi sebaliknya, mereka rugi.
“Persoalannya, berapa banyak leveraj yang mereka guna,” kata Ketua Eksekutif Richard Bernstein Advisors, Richard Bernstein.
Segalanya bermula minggu lalu apabila penjualan saham mengecewakan oleh gergasi media, ViacomCBS memicu panggilan margin daripada bank kepada Archegos, tiga sumber yang rapat dengan isu itu memberitahu Reuters.
Saham ViacomCBS jatuh 23 peratus Rabu lalu selepas syarikat media itu menjual saham pada harga yang mencairkan nilainya. – UTUSAN ONLINE