MARAN: Seorang pembantu kedai runcit di Rantau Perintis Jengka, Nor Farizatul Mohd. Ramli, 28, trauma diacu pisau dalam kejadian samun tambah nilai Digi prabayar bernilai RM100 di Rantau Perintis di sini.
Mangsa yang juga dikenali sebagai Wawa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi hari ini ketika dia berseorangan kerana kedai baharu dibuka dan rakan sekerjanya pula berada di gerai sebelah membeli sarapan pagi.
“Pada masa kejadian, seorang lelaki mahu membeli tambah nilai Digi RM100, tiba-tiba dia mengeluarkan pisau serta merampas kertas tambah nilai. Saya cuba menghalangnya, tetapi dia sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Ab. Rahman berkata, kejadian berlaku di premis kedai runcit Warna Klasik bangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).
Katanya, suspek masuk ke dalam kedai runcit dan meminta untuk membeli tambah nilai prabayar Digi RM100, Celcom RM100 dan Maxis RM100.
Jelasnya, bertindak atas maklumat, sepasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Maran bersama anggota Balai Polis Bandar Jengka berjaya menangkap suspek seorang duda berusia 37 tahun dan merampas pisau serta kereta yang digunakan.
“Soal siasat awal terhadapnya, suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut. Suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE