LANGKAWI: Seramai 30 kru bot nelayan berjaya diselamatkan apabila bot yang dinaiki mereka hampir karam selepas terlanggar batu di hadapan Resort World Langkawi pada kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, di sini hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, sejurus selepas menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi, kapal KM Tenggol digerakkan ke lokasi kejadian.
“Dalam kejadian pada pukul 6.50 pagi itu, salah sebuah daripada tiga bot bilis dipercayai terlanggar batu menyebabkan bot tersebut hampir karam.
“Dua lagi bot lain kemudiannya berpatah balik dan pemilik bot telah menghubungi MRSC Langkawi bagi mendapatkan bantuan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zawawi memberitahu, kesemua kru warga tempatan berusia 25 hingga 60 tahun memakai jaket keselamatan ketika kejadian tersebut.
Tambahnya, kru tersebut terlebih dahulu diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berdekatan dengan lokasi sebelum dipindahkan ke KM Tenggol.
Menurutnya lagi, pemilik bot itu kini sedang dalam usaha untuk menaikkan semula bot kayu berukuran 22.8 meter (m) panjang dan 7.1m lebar yang dimiliki oleh syarikat yang berpangkalan di Bukit Malut, di sini dengan bantuan Jabatan Laut Malaysia.
“Kesemua mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE