24 pengunjung rumah bot Tasik Kenyir kuarantin di rumah 

24 pengunjung rumah bot Tasik Kenyir kuarantin di rumah 

ANTARA 24 pemancing yang menggunakan perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir dipakaikan gelang berwarna putih susulan seorang daripada rakan mereka dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 24 pemancing dari Manir di sini yang menggunakan perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir kini menjalani kuarantin di rumah susulan seorang daripada rakan mereka dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, kesemua mereka yang dipakaikan gelang berwarna putih itu diarahkan menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 11 hari bermula tengah hari ini.

“Seorang rakan mereka dikesan merupakan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 tetapi tidak mempunyai sebarang gejala yang boleh dikaitkan dengan wabak tersebut, malah saya difahamkan dia telah menjalani ujian saringan di Hospital Hulu Terengganu pada pukul 5 petang semalam. 

“Jadi seramai 24 pemancing lain yang berada di rumah bot berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari ini bagi menjalani kuarantin sehingga keputusan ujian saringan Covid-19 rakan mereka diketahui tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan kesemua 25 pemancing itu menginap di rumah bot berkenaan sejak Khamis lalu, kira-kira pukul 9 pagi.

Menurut Razali, seorang pemandu dan empat kru perkhidmatan pengangkutan berkenaan turut menjalani kuarantin dalam tempoh sama dalam rumah bot.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar usah bimbang dengan khabar angin yang tular di media sosial kononnya terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pengunjung rumah bot.

“Ini adalah kes terpencil dan bagi pihak pengurusan Ketengah, kita yakin pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP)  Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

“Tasik Kenyir adalah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi dan saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang tersebar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN