Zuraida dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri PN Selangor - Utusan Malaysia

Zuraida dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri PN Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Selangor melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri.

Berdasarkan senarai lantikan jawatan kuasa negeri PN Selangor, seramai 14 ahli dilantik termasuk Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusinya.

Antara lain, kenyataan itu menyebut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Rashid Asari sebagai Naib Pengerusi manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (Bersatu) sebagai Setiausahanya diikuti Mohamed Senu Saad (Pas) sebagai Penolong Setiausaha; Bendahari, Mohd. Hasnizan Harun (Pas) dan Penolongnya, Wan Dzahanurin Ahmad (Bersatu).

Dalam pada itu, badan perhubungan negeri itu turut melantik Shukor Mustafa (Bersatu) sebagai Ketua Penerangan, Damanhuri Dol (Penolong Ketua Penerangan-Pas), Hanafi Zulkapli (Ketua Pemuda-Pas), Aysraf Halim (Naib Ketua Pemuda-Bersatu)), Dr. Daroyah Alwi (Ketua Wanita-Bersatu) dan Noraini Hussin (Naib Ketua Wanita-Pas).

Sementara itu, enam lagi dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa Negeri iaitu Muslim Yahaya; Mohd. Shafie Ngah; Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali; Noor Najhan Mohamad Salleh; Mohd. Rusnizan Ahmad dan Dr. Mohd. Fuad Mohd. Salleh.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan jawatan kuasa itu hadir setelah mengadakan pertemuan pada 5 Februari lalu bersama Abdul Rashid dan Ahmad Yunus.

Katanya, perbincangan tersebut berlangsung dengan penuh semangat musyawarah yang memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baharu bagi mengukuhkan keyakinan rakyat.

“Pengalaman bekerja bersama Bersatu dan Pas dalam kerajaan negeri Selangor pasti akan memperkukuh kekuatan dasar dan pelaksanaan gerak kerja demi masa depan negeri.

“PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri ini.

“Kita akan terus memperkukuh kepemimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, pada 5 Januari lalu, Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN seluruh negara dilantik termasuklah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili negeri Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya