PETALING JAYA: Seramai 500 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Rantau Panjang menerima bantuan dana sejumlah RM50,000 sempena Program Kembali Ke Sekolah anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, agihan bantuan itu sebagai tanda keprihatinan YBR dalam menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan seluruh masyarakat mengecapi limpahan ekonomi dan murid sekolah dapat belajar bersama di sekolah.
Bantuan berkenaan antara lain diharap dapat mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh keluarga bagi sesi persekolahan yang baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 14 Januari lalu sehingga 18 Februari ini.
“Diharap bantuan ini juga memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan membuat persiapan anak-anak mereka untuk kembali ke sekolah setelah lama tertangguh akibat jangkitan Covid-19 yang masih belum pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Alaf Baru Rantau Panjang, Akbar Salim.
Program anjuran YBR akan diagihkan kepada 141 lokasi lain yang telah dikenal pasti. Melalui YBR, ia bukan sahaja dapat membantu keluarga dan murid sekolah yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna malah, membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara supaya selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan.
Untuk rekod, sehingga tahun lalu, seramai 33,721 murid sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM3.87 juta.
Mengulas lanjut, kata Syaiful Rizal, bantuan persekolahan berupa wang tunai bernilai RM100 disumbangkan kepada setiap pelajar yang telah dikenal pasti dalam kalangan golongan B40.
“Bantuan ini diinspirasikan melalui penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan bagi memastikan murid sekolah gembira dan dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya. – UTUSAN ONLINE