KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju membuat sumbangan tunai RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) serta rumah saudara-mara, susulan terkesan bencana banjir pada bulan lalu.
Sumbangan tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga-peniaga di gerai-gerai dan rumah kedai-rumah kedai, yang turut mengalami bencana sama di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah kesemua ialah 18,726 orang melibatkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta.
Keputusan tersebut katanya, dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini.
“Mesyuarat hari ini juga mengambil maklum, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR.
“Bernilai keseluruhan kira-kira RM4.3 juta, sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA ini hanya meliputi kira-kira 8,600 KIR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah selama tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki, akibat bencana sama.
Beliau berkata, jumlah KIR terbabit ialah 27 orang manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga bulan berkenaan adalah kira-kira RM16,800.
“Sukacita juga saya maklumkan, mesyuarat MMK Negeri pagi ini turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Saya berharap, dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan hari ini, ia dapat sedikit-sebanyak meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir, serta masalah pembelajaran dalam tempoh mencabar menghadapi wabak pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE