KOTA BHARU: Kegiatan seorang wanita berjubah mencuri gelang emas di dua buah premis di Jalan Temenggong di sini sejak tiga tahun lalu terbongkar ketika dia cuba mengulangi perbuatan itu sekali lagi namun disedari pemilik kedai tersebut, baru-baru ini.
Dalam tempoh tiga tahun itu, suspek berusia 25 tahun disyaki telah mencuri sebanyak 27 gelang emas yang dianggarkan bernilai RM180,000 di kedua-dua premis tersebut yang terletak bersebelahan dengan cara memasukkan barangan kemas terbabit ke dalam lengan jubahnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemilik kedai emas berusia 33 tahun pada mulanya mendapati seutas gelang tangan hilang selepas suspek keluar dari premisnya kira-kira pukul 6 petang pada 23 Januari lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian menonton semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati gelang itu dicuri oleh wanita terbabit yang dilihat sering memakai jubah setiap kali ke kedainya.
“Mangsa yang mengenali wanita itu segera menghubunginya dan meminta dia memulangkan gelang tangan tersebut. Ketika datang ke kedai untuk memulangkan gelang yang dicuri, suspek turut memberi ganti rugi wang tunai RM1,000 kepada mangsa.
“Mangsa mengesyaki barang kemas yang hilang di premisnya sebelum ini juga telah dicuri oleh suspek yang menjadi pelanggan tetapnya sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sepanjang tempoh tersebut kata Shafien, mangsa mendakwa sebanyak 11 unit barang kemas bernilai RM60,000 hilang selepas suspek datang ke kedai dan berpura-pura mencuba beberapa gelang emas.
Katanya, mangsa kemudian turut memeriksa CCTV di kedai emas bersebelahan milik kakaknya dan mendapati sebanyak 16 gelang emas dianggarkan bernilai RM120,000 turut lesap dipercayai dicuri suspek.
“Siasatan mendapati, suspek yang masih bujang merupakan pelanggan tetap di kedai emas di situ sejak tiga tahun lalu. Dia dipercayai mencuri barang kemas di kedua-dua kedai ketika datang untuk membeli emas.
“Ketika pemilik sedang leka melayan pelanggan, suspek memasukkan barang kemas ke bahagian lengan jubah yang dipakainya,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – UTUSAN