Tablet harga murah kehabisan stok di Pulau Pinang

Tablet harga murah kehabisan stok

MOHD. Ridzuan Ab. Ghapar (kiri) dan Abdul Halim Hussain meninjau barangan keperluan harian sempena skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Raya AEON, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tablet berharga murah di negeri ini didapati telah kehabisan stok ekoran permintaan tinggi oleh pengguna selepas pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, tinjauan pihaknya di beberapa premis utama yang menjual peralatan elektronik mendapati stok tablet yang berharga sekitar RM599 telah habis dijual di pasaran. 

“Dari segi bekalan untuk stok tablet yang harganya murah, ia telah habis di pasaran, jadi sukar untuk dapatkan stok jenama berkenaan. 

“Pada masa ini memang banyak permintaan untuk tablet yang berharga murah, namun hanya stok tablet dengan harga lebih tinggi yang masih ada di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain. 

Kelmarin, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan segera mengawal harga komputer riba dan tablet yang kini dikesan mengalami peningkatan harga sehingga 25 peratus di pasaran.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan bahawa tablet mampu milik berjenama kini dijual pada harga yang lebih mahal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Menurut Mohd. Ridzuan, setakat ini KPDNHEP telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 kepada 22 pemilik premis yang menjual peralatan elektronik di sekitar negeri ini. 

“Notis di bawah Seksyen 21 ini dikeluarkan untuk pihak kami mendapatkan maklumat harga kos dan mengesan kenaikan harga tablet atau komputer riba tersebut,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak pelaksanaan skim harga maksimum sempena Tahun Baharu Cina yang bermula 8 Februari lalu, sebanyak tujuh peniaga di pasar awam dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mempamerkan tag merah jambu pada barangan kawalan. 

“Anggota penguat kuasa KPDNHEP akan terus menjalankan pemantauan di pasar raya, pasar awam dan lokasi perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang pelaksanaan skim bermula 8 hingga 16 Februari ini. 

“Pemantauan dijalankan bagi memastikan tiada kenaikan harga barangan dan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya