SOP 'makan besar' perlu dilihat semula - Anthony Loke

SOP ‘makan besar’ perlu dilihat semula

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kiri) ketika melancarkan Rak Berkat yang menempatkan barangan makanan dan keperluan harian kelolaan Rotary Club Petaling Jaya di Kemayan Square, Seremban hari ini. Yang hadir sama, Presiden Rotary Club Petaling Jaya, Victor Lee (kiri). - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan perlu menilai semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung acara makan besar yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, SOP perayaan yang hanya membenarkan acara makan besar disambut dalam rumah bersama ahli keluarga daripada rumah yang sama merupakan sesuatu yang sukar diterima oleh masyarakat Cina.

“Kerajaan kena faham bahawa kebanyakan keluarga muda ini mereka memang tidak duduk sama dengan ibu bapa, mereka mungkin duduk dalam satu perumahan yang sama malah yang tinggal sederet juga ada. Jika kata hanya untuk keluarga yang duduk rumah itu sahaja bermakna yang tinggal di sebelah rumah juga tidak boleh, itu sukar diterima.

“Kami harap ada satu garis panduan yang lebih praktikal dan munasabah, saya nak tegaskan kita bukan mahu minta buka sempadan negeri kerana kebanyakan masyarakat Cina sudah terima hakikat, tahu anak-anak mereka yang bekerja di luar negeri tidak boleh balik, tapi kalau duduk satu daerah dan satu taman perumahan takkan tidak boleh duduk sama untuk makan?” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rak Berkat kelolaan Rotary Club Petaling Jaya di Kemayan Square, dekat sini hari ini.

Kelmarin Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti ziarah termasuk rentas daerah dan negeri serta aktiviti keagamaan di tokong sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 11 dan 12 Februari ini tidak dibenarkan.

Turut ditetapkan acara makan besar hanya dibenarkan untuk disambut dalam rumah bersama ahli keluarga daripada rumah yang sama selain turut tidak dibenarkan sebarang aktiviti kebudayaan dan persembahan seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, opera dan pertunjukan pentas.

Upacara sembahyang di tokong pula hanya dibenarkan membabitkan lima ahli jawatankuasa tokong.

Tambah Siew Fook lagi, acara makan besar sepatutnya boleh dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga di bandar dan daerah yang sama namun beliau bersetuju acara tersebut boleh dihadkan dengan kehadiran maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Makan besar ini adalah sesuatu adat masyarakat Cina yang paling penting sepanjang tahun, biasanya kalau tidak boleh balik rumah pun tidak mengapa tetapi pada malam itu kalau tidak balik rumah seolah-olah seperti dosa besar kepada anak muda Cina,” katanya.

Sementara itu, katanya, rak makanan yang disediakan oleh pihak Rotary Club Petaling Jaya dengan kerjasama pihak swasta itu adalah bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan 40 peratus endah (B40) malah 40 peratus sederhana (M40) yang memerlukan khususnya di bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN