BUTTERWORTH: Sebanyak 2,807 unit pakaian disyaki tiruan bernilai RM14,780 dirampas dalam dua pemeriksaan berasingan kira-kira pukul 2 petang semalam.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan melibatkan sembilan pegawai penguat kuasa itu dijalankan di Taman Tasek Mutiara, Nibong Tebal dan Taman Dahlia, di sini.
Kata Mohd. Ridzuan, selain merampas pakaian yang disyaki tiruan itu di bawah Akta Cap Dagangan 2019, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 55 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, tindakan kes diambil di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan, apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar.
“Penalti juga boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati menjual barang-barang yang cap dagangannya dipakaikan dengan salah.
“Bagi pertubuhan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang manakala bagi individu , denda yang dikenakan tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang atau dipenjarakan untuk tempoh tidak lebih tiga tahun,” katanya di sini hari ini.
Jelas Mohd. Ridzuan, pihaknya akan sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan di pasaran adalah tulen dan mengingatkan orang ramai tindakan tegas akan diambil terhadap sekiranya melanggar undang-undang ditetapkan.
“Saya juga menasihatkan pengguna supaya mengetahui hak-hak mereka dalam berbelanja dan menanamkan budaya membeli barangan tulen di pasaran,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE