KUALA TERENGGANU: Hotel milik kerajaan negeri, Duyung Marina & Resort (DMR) mengambil inisiatif membuka gerai hidangan nasi bajet berharga RM3 di tepi jalan di bandar ini bagi memastikan kelangsungan operasinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurus Besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, langkah drastik dan proaktif untuk tidak bergantung kepada perniagaan teras semata-mata itu dalam masa sama dapat menyuntik motivasi kepada kalangan 156 pekerjanya.
Katanya, gerai yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 3 petang pada setiap hari di Jambatan Sultan Mahmud di sini menawarkan pelbagai menu menarik seperti ayam goreng berempah, gulai ayam, gulai lemak ikan masin nenas, sambal ikan tenggiri limau, sambal telur dan sayur goreng.
“Idea membuka gerai nasi bajet ini tercetus hasil perbincangan dengan chef dan strategi ini membuktikan majikan tidak hanya berpeluk tubuh dalam berdepan dengan situasi ekonomi penuh mencabar akibat pandemik Covid-19.
“Pada hari pertama beroperasi kelmarin (Khamis) kita hanya menyediakan hidangan untuk 80 orang sahaja tetapi sambutan yang di luar jangkaan mendorong kita menggandakan kuantiti makanan kepada 300 orang pada hari ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mempromosikan jualan nasi bajet tersebut.
Menurut Wan Mohd. Faizul, tindakan resort empat bintang itu menjual hidangan bajet bukan mahu membunuh peniaga makanan lain, sebaliknya salah satu usaha mereka untuk melakukan kebajikan kepada golongan B40 menerusi jualan makanan pada harga murah.
Katanya, dalam masa terdekat dua lagi gerai nasi bajet DMR bakal dibuka di sekitar bandar ini dan pihaknya masih mengenal pasti lokasi yang bersesuaian di samping masih meneruskan penghantaran makanan serta aktif mempromosikan bilik pada harga murah.
“Kewujudan gerai kita di Jambatan Sultan Mahmud ini tidak mengganggu peniaga kecil lain kerana kita sudah mengambil kira tiada perniagaan nasi bajet di kawasan sekitar dan pendekatan sama akan turut diguna pakai bagi pembukaan dua lokasi baharu nanti.
“Keuntungan daripada jualan nasi bajet ini tidak sampai 10 peratus kepada perniagaan teras DMR tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membawa keceriaan dan semangat kepada pekerja,” katanya.
Wan Mohd. Faizul berkata, pihaknya bersedia menyediakan hidangan bagi mana-mana syarikat korporat atau orang perseorangan yang ingin melakukan kebajikan dengan terbaharu bakal bekerjasama dengan seorang penyumbang untuk penajaan makanan petugas barisan hadapan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). – UTUSAN