Penolong Pegawai JAINJ dituduh terima rasuah RM26,800

Penolong Pegawai JAINJ dituduh terima rasuah RM26,800

NURUL Hazlin Hashim (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,800 di Johor Bahru, Johor. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penolong Pegawai di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM26,800, pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Hazlin Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM12,800 daripada seorang individu sebagai dorongan agar sebuah syarikat diberikan projek Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita Negeri Johor 2019 di sebuah bank di Taman Mohd. Yassin, Simpang Renggam antara 27 hingga 29 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama sebagai cadangan agar syarikat terbabit mendapat kerja bagi Program Santuni Orang Asli Siri 2/2019 di tempat sama pada 29 Oktober 2019.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa menerima suapan RM7,000 sebagai dorongan untuk mencadangkan agar syarikat berkenaan diberikan projek bagi Program Santuni Orang Asli Siri 3/2019 di tempat sama pada 4 November 2019.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Nurul Hazlin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi memohon agar mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM40,000.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan tarikh 3 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Beliau turut menasihati tertuduh untuk melantik seorang peguam bagi membantu dalam pembelaannya kerana tertuduh berdepan tiga pertuduhan rasuah dan masih belum dibuktikan bersalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN