PETALING JAYA: Beberapa pasukan yang telah mendapat kelulusan untuk berlatih sudah mula menjalani latihan setelah berjaya melengkapkan proses yang diperlukan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Selangor FC dan Selangor FC II antara pasukan yang telah berjaya mendapatkan kelulusan pada 14 Februari dan memulakan sesi latihan di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidun, menjelaskan pengalaman pada musim lalu telah menjadikan mereka sudah bersedia terhadap apa perkara yang diperlukan serta tidak berdepan banyak kesukaran bagi melengkapkan syarat yang dimahukan MFL.
“Kami telah menghantar semua laporan yang diperlukan semalam ke MFL dan MFL juga telah memberikan kelulusan pada hari yang sama. Perkara ini bukan sesuatu yang janggal kerana kami pernah lakukan sebelum ini.
“Ujian calitan Covid-19 telah dilakukan pada Sabtu lalu selain telah sanitasi padang latihan serta beberapa dokumen yang diperlukan, maka semuanya telah selesai dan kami boleh berlatih pada hari ini.
“Pasukan akan berlatih seperti biasa iaitu latihan secara kontak penuh dan cara SOP (Prosedur Operasi Standard) yang kami pilih adalah ‘Home Quarantine’,“ katanya.
Selain Selangor FC dan Selangor FC II, pasukan lain seperti Pahang, Petaling Jaya City (PJ City) FC dan UiTM FC juga telah mendapat kebenaran untuk melakukan latihan.
Pada 9 Februari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga Malaysia, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya menyambut baik kebenaran pihak kerajaan itu di mana program latihan berpusat menyaksikan tempat latihan dan pergerakan atlet atau pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan dengan penginapan atlet atau pemain perlu mengikut SOP mengikut ‘Camp Quarantine’ dan ‘Home Quarantine’ yang telah ditetapkan.