PADANG BESAR: Dua penyeludup ketum sanggup mempertaruhkan nyawa bagi meloloskan diri sehingga kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka yang membawa 500 kilogram ketum terbalik semasa dikejar polis di Kampung Kolam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya sedang membuat rondaan kira-kira pukul 8 pagi sebelum terserempak dengan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pihaknya bertindak mengejar kenderaan tersebut yang disyaki membawa daun ketum.
“Tidak lama kemudian, kenderaan tersebut yang terbabas dan terbalik dijumpai tanpa pemandu dan suspek dipercayai melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi daun-daun disyaki ketum, dianggarkan seberat 500 kilogram dengan anggaran nilai sebanyak RM15,000.
“Daun ketum ini dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui jalan Felda Mata Ayer,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua barang kes tersebut dirampas untuk siasatan dibawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun.
Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah ataupun penyeludupan daun ketum dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar yang beroperasi 24 jam di talian hotline 04-9491481 berserta dengan maklumat lengkap dan identiti akan dirahsiakan. – UTUSAN