PASIR PUTEH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi diselar kerana enggan memohon maaf secara terbuka selepas membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Muhamad Syazwan Che Rahim berkata, sikap mencari kesalahan tanpa bukti tidak sepatutnya dilakukan oleh tokoh politik berpengalaman seperti Mohd. Puad.
“Tokoh politik yang berpengalaman juga lazimnya berjiwa besar dan bersedia memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Terdahulu satu laporan polis terhadap Mohd. Puad dibuat Muhamad Syazwan mewakili Armada Bersatu Pasir Puteh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini kira-kira pukul 5 petang.
Muhamad Syazwan berkata, ia adalah susulan kedegilan Mohd. Puad untuk memohon maaf secara terbuka di atas penyebaran kenyataan berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook miliknya tersebut.
“Kami terpanggil untuk mendesak polis membuat siasatan terhadap hantaran Facebook beliau pada 9 Februari lalu yang mendakwa Perdana Menteri enggan menjalani kuarantin susulan.
“Hantaran yang menjadi tatapan umum dan sumber berita media massa pastinya bertujuan menjatuhkan kewibawaan pucuk pimpinan negara,” katanya.
Muhamad Syazwan berkata, pihak polis perlu menjalankan siasatan terhadap kes tersebut termasuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya agar sebaran fitnah dan penulisan berita palsu seumpama itu tidak berulang.
Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri menuntut Mohd. Puad memohon maaf secara terbuka susulan dakwaannya bahawa perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantin sekembalinya beliau dari Indonesia baru-baru ini. – UTUSAN