Lemang daun lerek laris sempena Tahun Baharu Cina

Lemang daun lerek laris sempena Tahun Baharu Cina

SEBAHAGIAN daripada 10 bersaudara giat menyiapkan tempahan lemang daun lerek sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Chenaga, Repah, Tampin, Negeri Sembilan semalam. – FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Lemang merupakan makanan tradisional yang sino­nim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini namun di daerah ini, ia juga mendapat tempahan menggalakkan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Lebih menarik, di Kampung Chenaga, Repah di sini, terdapat lemang daun lerek yang telah diusahakan 10 orang bersaudara sejak 10 tahun yang lalu dan ia mendapat sambutan masyarakat berbilang bangsa.

Pengusahanya, Abu Bakar Ahmad, 50, seminggu sebelum mana-mana perayaan, mereka akan mencari terlebih dahulu sekurang-kurangnya 1,000 da­un lerek yang merupakan tumbuhan herba di dalam hutan bagi memenuhi permin­taan pe­langgan.

“Banyak yang dijual di sini ialah lemang beralaskan daun pisang, tapi bermula dengan perniagaan saudara di Gombak, Selangor, kami gunakan idea daun lerek ini sebagai pengganti kepada daun pisang.

“Hari ini, hari pertama jualan lemang daun lerek bagi perayaan Tahun Baru Cina dan kami sudah dapat 160 tempahan daripada masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Abu Bakar, lemang berkenaan juga akan dijual di gerai di tepi jalan di Kampung Repah sehingga Ahad ini bagi memberi peluang orang ramai merasai sendiri keisti­mewaan lemang daun lerek.

“Lemang daun lerek tidak perlu dibelah sebaliknya hanya perlu ditarik keluar sahaja dan lebih memudahkan penggemar lemang. Kami juga masih kekal dengan harga yang sama sejak 10 tahun lalu iaitu RM10 bagi sebatang lemang,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, pada musim perayaan Aidilfitri, jualan lemang yang dijual mereka mampu mencecah sebanyak 2,000 batang.

“Masa musim perayaan memang rasa seronok, lemang ini sudah ada peminatnya sendiri malah ia juga dicari-cari ketika sambutan Deepavali malah semasa Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN