Lelaki Pakistan cuba rasuah polis wanita dengan rantai emas

Lelaki Pakistan cuba rasuah polis wanita dengan rantai emas

RANTAI emas milik suspek sebagai sogokan kepada pegawai polis untuk mengelak daripada ditahan ketika SJR di Plaza Tol Bukit Gambir, Tangkak, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Tindakan seorang lelaki warga Pakistan yang cuba memberi rasuah berupa rantai emas kepada seorang pegawai polis wanita mengundang padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bukit Gambir di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu didakwa cuba merasuah polis wanita berpangkat inspektor bagi tujuan melepaskan diri kerana merentas negeri tanpa permit.

“Sewaktu sepasukan pegawai dan anggota sedang mengadakan SJR di Plaza Tol Bukit Gambir, suspek yang memandu kereta jenis Honda City ditahan polis bagi memeriksa dokumen berkaitan dan surat rentas negeri.

“Bagaimanapun, lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil terhadapnya. Namun, sewaktu disoal mengenai maklumat diri oleh pegawai bertugas, suspek telah bertindak membuka rantai emas di lehernya dan diletakkan dalam beret polis di atas meja sebagai tanda suapan.

“Suspek juga sempat menawarkan sejumlah wang yang tidak dinyatakan nilai sebagai imbuhan untuk melepaskan diri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini hari ini.

Mohd. Fadhil berkata, rantai emas bernilai RM2,100 itu dirampas dan suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana menawarkan hadiah atau pemulangan harta sebagai balasan mengelakkan pesalah.

“Dia juga disiasat mengikut Seksyen 269 kanun sama berikutan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

“Suspek kini direman di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 dan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya