SIK: Polis menahan seorang penganggur dan isterinya yang sedang mengandung enam bulan bersama dadah jenis syabu seberat 56 gram dan tujuh pil yaba di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Titi Jeniang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pasangan suami isteri berusia 37 dan 24 tahun yang menaiki kereta jenis BMW itu ditahan kira-kira pukul 1 petang.
Menurutnya, anggota yang bertugas di SJR itu meminta lesen memandu lelaki terbabit sebelum mendapati ia palsu.
“Pemeriksaan turut mendapati cukai jalan kereta dinaiki pasangan itu juga palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, polis kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan menemui satu peket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 51 gram dan satu lagi peket plastik berisi satu gram syabu.
“Pemeriksaan turut menemui satu peket plastik berisi tujuh pil disyaki pil Yaba dengan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,200,” ujarnya.
Menurut Abdull Razak, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek dan isterinya positif dadah jenis methamphetamine.
“Berdasarkan pengakuan awal suspek, pasangan ini dalam perjalanan pulang dari rumah keluarga di Kuala Terengganu ke rumah isterinya di Perlis.
“Dalam perjalanan pulang itu, suspek mengaku pergi mendapatkan bekalan dadah di Rantau Panjang, Kelantan sebelum bergerak pulang ke Perlis,” katanya.
Tambahnya, semakan polis mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah.
“Pasangan suami isteri itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN