Lagi tanah Felda dikenakan PKPD, kali ini Triang 3 sehingga 3 Mac

Lagi tanah Felda dikenakan PKPD, kali ini Triang 3 sehingga 3 Mac

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah lagi kawasan skim rancangan pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kali ini, ia melibatkan Felda Triang 3 di Daerah Bera, Pahang yang merupakan perumahan estet kelapa sawit dan Taman Lamanda Permai dengan sejumlah 1,356 orang penduduk.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD terbaharu di lokaliti tersebut bakal berlangsung selama dua minggu bermula esok sehingga 3 Mac depan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan ada sembilan kes positif dilaporkan dan sehingga semalam, 79 kontak rapat dikenal pasti di kawasan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru ujar beliau lagi, setelah dibuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD mulai 18 Februari ini.

Pelaksanaan itu akan membolehkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan memastikan tiada penularan Covid-19 dalam komuniti.

Felda Triang 3 terletak hanya tiga kilometer dari bandar Bera dan 150 kilometer dari ibu negeri Pahang, Kuantan serta merupakan antara 14 skim rancangan Felda dalam Daerah Bera.

Secara kebetulan, Ismail Sabri merupakan Ahli Parlimen Bera dan mewakili Barisan Nasional selama empat penggal di kawasan ini sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 lalu.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat 57 pemeriksaan tapak binaan seluruh negara semalam dengan satu tidak beroperasi.

“Sementara selebihnya itu didapati mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 8,733 tapak binaan telah pun diperiksa,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN