Lagi mayat reput ditemukan terdampar di Pantai Kemayan

Lagi mayat reput terdampar di Pantai Kemayan

SATU mayat reput ditemukan terdampar di Pantai Kemayang, Bachok, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Orang ramai di daerah ini sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat reput dan gagal disahkan jantina mahupun identiti yang terdampar di gigi air Pantai Kemayan, di sini petang ini.

Dengan penemuan terbaharu itu, sudah empat kes berkaitan mayat hampir reput dilaporkan terdampar di persisiran pantai daerah ini, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, mayat individu tidak berbaju dan berseluar pendek itu ditemukan orang awam pada pukul 5 petang ini.

“Apabila polis tiba di lokasi, kami dapati mayat tersebut sudah reput sepenuhnya dan hanya tinggal bahagian tulang belakang dan tulang paha.

“Berdasarkan siasatan awal dan keadaan mayat, kita percaya mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 10 hari lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Mohd. Yusrizal, mayat itu kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dapat dikaitkan dengan dengan mayat yang dijumpai hari ini.

“Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau mana-mana balai polis,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu pada 14 Januari lalu, orang ramai gempar dengan penemuan mayat reput namun masih berpakaian lengkap seperti seragam pekerja pelantar minyak di pesisir Pantai Sri Telong di sini.

Pada 3 Februari, mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel dan hampir reput pula ditemukan di Pantai Melawi, di sini sebelum disusuli satu lagi kes penemuan mayat reput di Pantai Kuala Kandis, di sini pada 13 Februari.

Kesemua kes diklasifikasi mati mengejut kerana tiada unsur jenayah dapat dikaitkan selain kesemua mayat terbabit gagal dikenal pasti identiti mereka setakat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya