KPDNHEP NS rampas kasut tiruan bernilai RM27,375  

KPDNHEP NS rampas kasut tiruan bernilai RM27,375  

SEORANG anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa sebahagian kasut pelbagai jenama dipercayai tiruan di sebuah bilik yang dijadikan stor simpanan dalam sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 1,825 unit kasut pelbagai jenama dipercayai tiruan bernilai RM27,375 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan dalam sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini semalam.  

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi melibatkan sembilan anggota penguat kuasa itu dijalankan ke atas premis berkenaan kerana disyaki dijadikan stor simpanan barang tiruan untuk perdagangan.  

Jelasnya, tindakan berkenaan adalah hasil risikan selama satu minggu yang dibuat pihaknya dan pihak pengadu bagi cap dagangan berkenaan. 

“Semasa pemeriksaan dijalankan telah menemui seorang wanita warga tempatan berusia 30-an di kediaman terbabit yang merupakan pemilik perniagaan yang berdaftar berdasarkan rekod pendaftaran perniagaan. Pemeriksaan lanjut menemukan barangan rampasan di dalam ruangan bilik yang dijadikan stor simpanan.  

“Siasatan awal dijalankan mendapati suspek telah menjalankan perniagaan selama tiga tahun dan barangan tersebut diperolehi dari luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambah beliau, kasut-kasut itu dipercayai disimpan di premis berkenaan sebelum dijual kepada pelanggan melalui platform perniagaan atas talian untuk pasaran dalam negara. 

“Tindakan kes ini merupakan tindakan kes yang pertama di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2021 yang diambil KPDNHEP Negeri Sembilan. Operasi ini merupakan rampasan yang melibatkan nilai terbesar setakat ini,” tambahnya.  

Jelas Ain Arjuna lagi, kesemua barangan dirampas disita di bawah Seksyen 102 (1) (C) Akta Cap Dagangan 2019 bagi tujuan siasatan lanjut.  

“KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan yang tegas ke atas peniaga-peniaga yang didapati menjual barangan tiruan dari semasa ke semasa. 

“Para pengguna juga dinasihati untuk lebih berhati-hati ketika pembelian di atas talian bagi mengelakkan tertipu membeli barangan tiruan menggunakan jenama terkenal,” jelasnya.

Tambahnya, berdasarkan rekod pada tahun 2020, KPDNHEP Negeri Sembilan telah mengambil tindakan sebanyak 14 kes dibawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM518,806.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya