Klopp tinggalkan Liverpool? - Utusan Malaysia

Klopp tinggalkan Liverpool?

JURGEN KLOPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jurgen Klopp mungkin meninggalkan Liverpool pada hujung musim 2022 untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Jerman, lapor akhbar BILD.

Minggu lalu, pengendali berusia 53 tahun itu menegaskan, dia tidak punya perancangan untuk meninggalkan kelab dalam tempoh terdekat meskipun spekulasi bertiup kencang mengenai ‘keretakan hubungannya dengan pemain’, selain kesediaan Jerman untuk mempertimbangkan masa depannya.

Akhbar Jerman itu turut mempersoalkan bilakah Klopp akan ‘meninggalkan jejak’ di Anfield ekoran empat kekalahan berturut-turut di laman sendiri meskipun kontraknya sehingga 2024.

Menurut BILD, peluang Klopp mengambil alih Jerman daripada Joachim Loew selepas tamat Piala Dunia di Qatar tahun depan adalah 68 peratus.

Klopp dikatakan sudah jelas mengenai rancangan untuk kembali ke Jerman dan mengambil kira engambil kira peruntukan cuti enam bulan pada awal 2023, dia mungkin akan meninggalkan Anfield pada Jun tahun depan.

JOACHIM LOEW

Akhbar itu juga tidak menolak Klopp mungkin pergi lebih awal sebaik sahaja musim ini berakhir ekoran ketidaktentuan pandemik Covid-19 dan kedudukan semasa kelab, namun penyokong serta pemilik kelab, Kumpulan Fenway masih menyokongnya.

Selepas mengambil alih Liverpool daripada Brendan Rodgers pada Oktober 2015, Klopp membawa Reds muncul juara Eropah 2019 dengan mengalahkan Tottenham dalam perlawanan akhir di Madrid.

Dia turut membantu Reds menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, musim lalu, namun ia tampak sukar untuk mempertahankan gelaran  selepas ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Manchester City ketika ini.

Klopp mengakui, Liverpool tidak mampu mempertahankan gelaran susulan kekalahan kepada Leicester dua minggu lalu, namun menegaskan dia tidak ada niat meninggalkan Anfield meskipun prestasi Reds di peringkat domestik merudum.

“Sama ada saya dipecat atau saya meninggalkan pasukan secara sukarela? Saya tidak perlu mendedahkannya.

“Apa yang jelas, kami berdepan masa sukar, sudah berlanjutan dalam tempoh yang lama dan kami pasti dapat mengatasinya 100 peratus sebagai satu keluarga.

“Saya tidak rasa yang saya perlukan sokongan istimewa pada masa ini tetapi ia sesuatu yang bagus. Saya tidak perlu berehat. Saya sangat bertenaga. Saya dapat menyaksikan satu cabaran yang menarik. Kami akan menunjukkannya menerusi bola sepak, kami akan melalui secara bersama dengan berjuang dengan apa yang kami ada,” kata Klopp. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN