KOTA BHARU: Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan kehadiran seramai 30 peratus jemaah mengikut keluasan dan kapasiti di semua masjid, surau dan musalla bermula 12 Februari ini.
Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan jemaah yang dibenarkan itu adalah untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dengan penjarakan satu meter.
Katanya, kuliah-kuliah agama sama ada kuliah Subuh, kuliah Maghrib, kuliah Dhuha termasuk kelas-kelas al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran 30 peratus jemaah mengikut kapasiti dan keluasan masjid dengan penjarakan satu meter.
“Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu yang lain dikekalkan seperti yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“Pelaksanaan SOP di negeri ini akan dilanjutkan bermula 12 Februari sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, pemakluman itu telah mendapat perkenan dari Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama negeri mengikut peruntukan Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memberi kerjasama dalam melaksanakan SOP yang perlu dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musalla.
Sebelum ini, Maik membenarkan hanya 50 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di negeri ini berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 5 Februari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN