Kebakaran dedah makmal proses, RM5 juta dadah dirampas

Kebakaran dedah makmal proses, RM5 juta dadah dirampas

AYOB Khan Mydin Pitchay menunjukkan salah sebuah mesin memproses dadah yang berjaya dirampas di kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Seri Alam susulan insiden kebakaran baru-baru ini pada sidang akhbar di IPK Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Insiden kebakaran melibatkan sebuah kilang tiga tingkat di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Bandar Seri Alam pada pukul 9.40 malam, 31 Januari lalu membongkar sindiket pemprosesan dadah yang baharu beroperasi selama sebulan di premis berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung kebakaran itu daripada bomba yang tiba untuk memadam api ekoran kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kilang yang disewa dengan bayaran RM9,000 sebulan itu dijadikan makmal memproses dadah haram dengan sejumlah dadah bernilai RM5.06 juta berjaya dirampas.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 30 kilogram (kg) ketamin bernilai RM1.65 juta, 100 liter cecair dadah bernilai RM3.3 juta dan 2 kg serbuk dadah bernilai RM110,000.

“Polis turut merampas perkakas memproses dadah serta beberapa barangan lain seperti enam buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM6,400, barangan kemas dan lima akaun bank dengan jumlah keseluruhan rampasan RM1.34 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan melibatkan sindiket itu adalah sebanyak RM6.4 juta manakala bekalan dadah yang dirampas mencukupi untuk kegunaan seramai 660,000 penagih.

Beliau berkata, polis turut berjaya menahan seramai enam lelaki warga tempatan berusia antara 34 hingga 48 tahun pada malam yang sama di sekitar bandar raya ini.

“Ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati kesemua suspek negatif penggunaan dadah manakala siasatan mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau membabitkan perbuatan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek yang ditahan telah disambung reman selama dua hari sehingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Ayob Khan, pihaknya masih memburu empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 46 tahun yang dipercayai merupakan anggota sindiket dan masih bebas ketika ini.

“Mereka yang diburu ialah Ooi Kerh Chi, 40; Ng Hoon Guan, 45; Cheong Kerh Chi, 39; S. Steven, 46, dan Chua Lee Yee, 33. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu polis dalam siasatan dijalankan,” katanya.

Sementara itu, sejak 1 Januari hingga 3 Februari tahun ini, Polis Johor telah membuat rampasan dadah seberat 5.9 tan dengan nilai keseluruhan mencecah RM329.53 juta.

Dalam tempoh sama, seramai 1,235 individu telah ditangkap melibatkan pelbagai kesalahan dadah dengan sitaan harta bernilai RM15.76 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya