PUTRAJAYA: Bilangan ditahan semalam turun dengan 643 berbanding 747 individu kelmarin atas pelbagai ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 73,561 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 4,460 pasukan di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 623 dikompaun dan 20 direman dengan kes tertinggi tidak memakai pelitup muka membabitkan 144 individu.
“Diikuti tiada jarak fizikal (133), gagal sedia alat rekod butiran diri (112), rentas kawasan tanpa izin (112), operasi premis lebih masa (34) dan lain-lain (108),” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau menambah, 13,302 anggota semalam memantau sejumlah 5,515 restoran, 3,942 pasar raya, 3,845 bank, 2,429 penjaja dan 1,758 kilang dan 851 pejabat kerajaan
Turut dipantau ujar beliau lagi, ialah sejumlah 1,046 terminal pengangkutan darat selain 255 terminal pengangkutan air dan 89 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.
Seramai 14 pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan kes Covid-19.
“Lima buah kenderaan darat juga dirampas, manakala 607 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 81 bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.
Ismail Sabri juga memaklumkan sejumlah 64 operasi sanitasi awam yang antaranya meliputi sebanyak 39 zon merah dan tiga zon jingga, dilakukan di seluruh negara semalam.
Ia ujar beliau, melibatkan penugasan 418 anggota bomba, 178 anggota pihak berkuasa tempatan dan lapan dari agensi lain dan dengan penggunaan sejumlah 55 jentera bomba.
Menyentuh kuarantin wajib, seramai 744 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.
“Sejumlah 117,449 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 73 buah hotel serta 14 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Seramai 489 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 109,361 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan pula kata beliau, membuat sembilan pemeriksaan di seluruh negara dengan cuma satu tapak binaan didapati tidak mematuhi SOP.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 538 peruncit, 157 pemborong dan 30 pengilang.
Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,330 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 12 diberikan nasihat, enam dikenakan amaran dan 19 lagi premis dikompaun. – UTUSAN