TUMPAT: Taktik penyeludup mengangkut minyak masak peket menggunakan lori pasir terbongkar apabila pihak berkuasa menahan seorang lelaki dan merampas 1.36 tan metrik barangan bersubsidi itu di sebuah premis di Pengkalan Kubor, di sini semalam.
Suspek berusia 40-an ditahan ketika serbuan kira-kira pukul 3 petang oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan itu turut mendedahkan modus operandi terbaharu penyeludup iaitu menggunakan lori pasir bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek menerima upah sebanyak RM100 untuk mengangkut dan memunggah barang bersubsidi itu dari pembekal atau pemborong tempatan dan membawanya ke pangkalan haram.
“Bekalan minyak masak itu diambil dari pemborong di Pasir Mas sebelum dibawa ke lokasi yang ditetapkan oleh seorang individu menerusi panggilan telefon.
“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu oleh pihak kami sebelum melakukan serbuan ke atas premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azanizam Affendi memberitahu, semasa serbuan, suspek cuba lari selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa namun gagal meloloskan diri.
Pemeriksaan lanjut ke atas lorinya pula membawa kepada penemuan sejumlah besar kotak berwarna coklat yang didapati mengandungi minyak masak peket bersubsidi berjumlah 1.36 tan.
“Pemandu lori didapati tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kita juga sedang giat mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan haram itu,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambah beliau, kerjasama KPDNHEP dengan agensi sempadan lain akan terus diperhebat dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran. – UTUSAN ONLINE