PETALING JAYA: Selepas Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada meluahkan rasa bimbang terhadap kebebasan media di Malaysia, beberapa negara Eropah turut tampil menyatakan pendirian sama.
Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia serta Duta Norway dan Duta Switzerland dalam kenyataan bersama menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini adalah sesuatu yang membimbangkan.
“Dalam mengiktiraf kebebasan dan memelihara maruah badan kehakiman, kami bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini dan kesannya terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.
“Kebebasan akhbar adalah tonggak masyarakat demokratik. Media adalah penting untuk dijadikan medan perbahasan, ketelusan dan soal kebertanggungjawaban,” katanya.
Ia disusuli dengan kenyataan 76 individu yang terdiri daripada ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator pembangkang yang menggesa supaya perbincangan segera diadakan bagi merangka garis panduan media yang lebih adil dan saksama.
“Kami berpandangan ia tidak munasabah dan tidak adil untuk mempertanggungjawab sesebuah portal berita di atas pandangan pembacanya.
“Tidak boleh dinafikan bahawa portal berita tersebut telah memadam komen-komen yang menyinggung perasaan 12 minit selepas komen-komen tersebut dibawa ke perhatian pihak pengurusan portal. Kerjasama penuh telah diberi untuk memadam komen-komen tersebut,” katanya.
Pada masa sama, mereka menganggap keputusan itu memberi mesej salah seolah-olah kebebasan media dan hak bersuara semakin dikekang di negara ini.
“Kami menyokong penuh gesaan Majlis Peguam agar digubal undang-undang khusus untuk menentukan takrif ‘penghinaan’ secara teliti, yang seterusnya akan menjadi panduan berguna untuk menegakkan hak bersuara dan kebebasan.
“Oleh itu, amatlah penting hak bersuara wartawan dan pengamal media diberi perlindungan oleh undang-undang dan pihak kehakiman,” katanya. – UTUSAN ONLINE