Brek lori rosak, pemandu hampir rempuh pengguna jalan raya 

Brek lori rosak, pemandu hampir rempuh pengguna jalan raya 

TANGKAP layar daripada video sebuah lori yang dikatakan mengalami masalah brek dan hampir merempuh pengguna jalan raya lain dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim/Persiaran Kelicap, Pulau Pinang semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Polis menahan seorang pemandu lori muatan pasir selepas kenderaan yang dipandunya nyaris merempuh pengguna jalan raya semasa berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim/Persiaran Kelicap, di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, pemandu berusia 26 tahun berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas lori yang dipandunya dari  Bayan Mutiara dikatakan hilang kawalan. 

Ketika insiden berlaku, terdapat penunggang motosikal dan kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat tersebut termasuk berada pada kedudukan yang hampir dengan laluan lori tersebut. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku tidak melibatkan kenderaan awam atau kemalangan jiwa. 

Menurutnya, lelaki tempatan yang mempunyai lesen memandu itu merempuh lampu isyarat di sebelah kiri sebelum meluru ke hadapan. 

“Apabila melalui Persiaran Kelicap dari arah Bayan Mutiara, brek lori itu dikatakan tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik mengakibatkan pemandu hilang kawalan lalu melanggar sebatang lampu isyarat yang berada di jalan tersebut sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya di sini hari ini. 

Jelas Anbalagan, pihaknya akan menjalankan ujian saringan dadah ke atas pemandu yang berasal dari Bandar Baru Teluk Kumbar itu termasuk memeriksa lori berkenaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan  Berkomputer (Puspakom). 

Tambahnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Terdahulu, kejadian kali kedua di lokasi berkenaan tular dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook sejak malam tadi dengan mendapat pelbagai kecaman daripada netizen. 

Pada 7 November 2019, seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan Setia Triangle di Bayan Lepas, di sini dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang. 

Kemalangan tersebut berlaku selepas sebuah bas yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya