Bayi Orang Asli positif Covid-19, ibu bapa hilangkan diri

Bayi Orang Asli positif Covid-19, ibu bapa hilangkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis sedang menjejaki pasangan suami isteri Orang Asli yang dipercayai positif Covid-19 selepas mereka melarikan diri dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pasangan terbabit dari Kampung Pos Tohoi, Gua Musang turut meninggalkan bayi berusia 25 hari di HSIP yang disahkan positif Covid-19.

Katanya, kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihak hospital menyedari si ibu, Elina Aling, 33, tiada di wad berkenaan.

“Wanita berkenaan dan suami sebelum itu berada di wad Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU), namun gagal dikesan pihak hospital.

“Mereka sepatutnya perlu menjalani ujian saringan Covid-19 memandangkan bayi mereka telah dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Shafien berkata, jururawat berusia 41 tahun yang ditugaskan untuk membuat ujian saringan Covid-19 terhadap pasangan itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai semalam.

Katanya, selepas menerima laporan, polis melancarkan gerakan mengesan pasangan terbabit agar mereka dapat menjalani ujian saringan Covid-19.

“Anggota Unit Peronda (MPV) dan semua pihak dari Balai Kuala Krai sedang berusaha mengesan pasangan terbabit agar mereka tidak menjadi individu yang menjangkiti orang lain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pasangan terbabit diharap tampil memberi bantuan atau menghubungi pihak polis,” katanya.

Tambah Shafien, kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/270 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN