Bayern sukar digugat - Utusan Malaysia

Bayern sukar digugat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Penyandang juara, Bayern Munich bangkit daripada aksi hambar dalam saingan domestik untuk membenam Lazio 4-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara hari ini.

Pemenang Ballon d’Or, Robert Lewandowski mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan Bayern seawal minit kesembilan.

Pemain remaja sensasi, Jamal Musiala yang akan meraikan ulang tahun ke18, Jumaat ini meledak gol pertamanya di pentas Eropah untuk menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-24.

Musiala yang lahir di Jerman tetapi beraksi buat skuad England muncul pemain Inggeris termuda meledak gol dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Leroy Sane menghadiahkan gol ketiga Bayern di Stadio Olimpico, tiga minit sebelum tamat babak pertama.

JAMAL Musiala meraikan jaringannya ketika menentang Lazio. Leroy Sane (belakang) turut meledak gol buat Bayern Munich.

Dua minit memasuki separuh masa kedua, gol sendiri Francesco Acerbi menambah derita Lazio dan membenarkan Bayern melebarkan kelebihan 4-0.

Joaquin Correa berjaya menembusi gawang Bayern pada minit ke-49 untuk kedudukan 4-1, sekali gus memberi sedikit harapan buat Lazio apabila bertandang ke tempat lawan dalam aksi timbal balik, 18 Mac depan.

“Saya gembira dapat beraksi dalam perlawanan ini selepas melalui tempoh sukar sejak beberapa minggu lalu.

“Keputusan ini amat penting selepas aksi hambar dalam saingan liga domestik. Semua bertambah baik dan ini langkah pertama kebangkitan kami,” kata pemain tengah Bayern, Leon Goretzka yang membuat penampilan pertamanya selepas bebas daripada Covid-19. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN