JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membenarkan seramai 3,618 penuntut untuk kembali ke kampus di Skudai bermula 1 Mac ini atas dasar kepentingan dan keperluan akademik mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, universiti amat menitikberatkan kesinambungan pembelajaran penuntut dan langkah itu bagi memastikan mereka dapat menjalani pengajian dalam suasana kondusif yang tidak menjejaskan kecemerlangan akademik.
“Berdasarkan enam kategori yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pihak universiti dengan segera akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan berkepentingan.
“Seramai 618 pelajar berstatus ‘tidak selesai’ dikenal pasti untuk kembali ke kampus bagi fasa pertama sebagai pelajar yang berkeperluan khas untuk menyelesaikan gred akademik yang tertangguh sebelum ini.
“Pelajar ini akan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dibenarkan masuk ke kampus setelah mendapat kebenaran merentas negeri dan setibanya di kampus mereka akan diletakkan di Pusat Isolasi khas yang dipantau pusat kesihatan universiti selama 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Shamsul, segala kos penginapan isolasi 10 hari tersebut ditanggung pihak universiti dan selepas itu penuntut akan dibenarkan menggunakan makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas di kampus mengikut jadual ketat yang disediakan fakulti masing-masing.
Katanya, kira-kira 3,000 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah juga akan dibenarkan kembali ke kampus dengan pendaftaran akan dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi UTMSmart.
“UTM juga sedang bersedia menyambut 100 pelajar dari Sabah dan Sarawak mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Pelajar ini merupakan kategori berkeperluan khas iaitu mereka yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian. Pelajar ini akan menjalani sesi pembelajaran secara hibrid,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pihak pengurusan universiti juga bersetuju membenarkan penuntut yang akan menjalani Latihan Industri (LI) dan Latihan Mengajar (LM) untuk menginap di dalam kampus.
“Walaupun pelajar ini tidak termasuk dalam kategori enam pelajar tersebut, namun atas dasar kebajikan UTM akan menyediakan blok khas di kampus dengan mengikut prosedur yang lebih ketat.
“Perkara ini dilaksanakan memandangkan keperluan yang tinggi oleh pelajar dan universiti mengharapkan dengan pelaksanaan ini akan membantu meringankan beban dan kekangan pelajar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE