SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer 65.5 Jalan Alor Setar – Butterworth, Padang Temusu, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, penunggang motosikal terbabit, MT Kassim MT Isa, 61, dari Kampung Pantai Prai di sini yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, isterinya, Azizah Mohamed, 57, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira pukul 10.05 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan tersebut membabitkan motosikal mangsa jenis Honda EX5 dengan tiga kenderaan jenis Perodua Kembara, Toyota Vios dan Proton Iswara.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa yang datang dari arah Tikam Batu menghala Permatang Gedong di sini telah berhenti untuk membelok ke simpang kanan jalan.
“Pada masa sama, Perodua Kembara yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa dari arah sisi kanan kerana cuaca hujan dan jalan licin.
“Impak pelanggaran yang kuat mengakibatkan Perodua Kembara itu terbabas ke kawasan belukar manakala motosikal terjatuh ke laluan bertentangan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, motosikal berkenaan kemudian dilanggar kereta jenis Toyota Vios dan Proton Iswara yang melalui laluan bertentangan.
“Pemandu Perodua Kembara yang berusia 59 tahun menerima rawatan di hospital manakala pemandu Toyota Vios dan Proton Iswara yang berusia 36 dan 49 tahun tidak mengalami kecederaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE