KANGAR: Perbuatan memberi makan kepada kera berkeliaran di kawasan perumahan mendorong perubahan perilaku haiwan tersebut yang dahulu mencari makan di hutan dengan kini bergantung kepada pemberian manusia.
Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Zaidie Mohamed Zin berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat segelintir individu yang datang memberi makan kepada kera-kera liar di kawasan berhampiran perumahan di Bukit Lagi yang menyebabkan haiwan tersebut menjadi agresif apabila tidak diberi makanan dan boleh menyerang manusia.
Menurut beliau, tindakan itu boleh mengundang bahaya dan memberi ancaman kepada masyarakat yang melalui kawasan tersebut terutamanya kanak-kanak dan warga emas.
“Sebanyak 242 aduan baharu dan 422 aduan susulan berkaitan hidupan liar diterima sepanjang tahun lalu dan 151 daripadanya adalah aduan melibatkan gangguan kera.
“Oleh itu, Perhilitan berharap orang ramai tidak meneruskan pemberian makanan kepada kera-kera liar di kawasan ini bagi memastikan usaha dilakukan jabatan dalam menangani masalah ini berjaya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Perhilitan memasang perangkap kera di kawasan Bukit Lagi berhampiran Taman Mutiara bagi mengatasi masalah gangguan kera di kawasan tersebut.
Tambah Mohd Zaidie, pihaknya menggunakan kaedah pemasangan perangkap kera jenis kotak untuk mengurangkan kadar populasi haiwan itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, beliau berpuas hati kerana hasil perbincangan dengan Jabatan Perhilitan sebelum ini telah membuahkan hasil apabila satu perangkap kera dipasang di kawasan tersebut. – UTUSAN